Monday, 15 August 2011

ALLAH, MALAIKAT, MANUSIA, JIN DAN POHON KAYU BERSELAWAT KEPADA RASULULLAH.

ALLAH, MALAIKAT DAN MANUSIA BERSELAWAT KEPADA NABI
"مَعْنىَ الصَّلاةُ
هِيَ مِنَ اللهِ رَحْمَةٌ، وَمِنَ الْمَلائِكَةِ اِسْتِغْفَارِ، وَمِنَ الآدَمِيِّيْنَ تَضَرُّعٌ وَدُعَاءٌ".
Maksudnya:

"Makna Selawat jika daripada Allah adalah bermaksud rahmat, jika daripada malaikat bermaksud istighfar dan jika ia daripada anak Adam (manusia) bermaksud merendah diri dan doa".

  1. Allah berselawat kepada Nabi dengan makna Allah merahmati (MENGASIHI/MEREDHAI/BELAS KASIHAN) Nabi.
  • Rahmat ialah kurniaan nikmat beserta belas kasihan untuk menambahkan kemulian Nabi kita.
2. Malaikat berselawat kepada Nabi dengan makna memohon keampunan, Nabi tidak ada dosa tetapi malaikat minta ampu juga kerana untuk memuliakan Nabi dan mengagungkan Nabi.
3. Manusia dan Jin selawat kepada Nabi dengan makna merendahkan diri dan doa.
  • Doa agar Allah bagi rahmat dan kesejahteraan (kedamaian/kegembiraan) kepada Nabi.
  • Manusia dan jin berselawat kepada nabi bagi menzahirkan rahmat Allah kepada kita, sekiranya Allah tidak mengutuskan Nabi kepada kita, nescaya kita tidak akan mentauhidkan Allah dan memuji Allah.
  • Kita memuji Rasulullah hakikatnya kita memuji Allah dan sekiranya kita tidak memuji Rasulullah, maka sudah tentu kita tidak akan mengingati Allah.
  • Kita puji Rasulullah tetapi hakikat sebenarnya kita minta kepada diri kita sendiri iaitu kita minta Allah bagi rahmat dan kesejahteraan kepada kita, barulah kita diredhai oleh Allah.
  • Kita berselawat kepada Nabi untuk memuliakan Nabi, Nabi dah mulia tetapi kita DOA AGAR DITAMBAHKAN LAGI KEMULIAAN KEPADA NABI.
  • KITA BERSELAWAT KEPADA NABI AKAN MENDAPAT PAHALA DAN IA JUGA DAPAT MELEBURKAN DOSA KITA.
  • Perbahasan yang lebih mendalam tidak boleh al-Faqir tulis di sini...cukup di sini sahaja...kerana masih ada perbahasan mengikut tasawwuf...
4. Pohon Kayu Berselawat kepada Nabi dengan makna berzikir.

Makna al-Salam:

"مَعْنىَ السَّلامُ
 التَّسْلِيْمُ: أَيْ التَّحِيَّةُ".

Maksudnya:
 "Makna al-Salam adalah taslim (sejahtera) dan makna sejahtera adalah pembesaran".

Al-Salam: dengan makna sejahtera, sejahtera dengan makna aman. Allah membangkitkan Rasul dalam keadaan aman iaitu SELAMAT DARIPADA PERKARA YANG DITEGAH OLEH ALLAH iaitu Nabi tidak melakukan perbuatan yang diharamkan oleh Allah.

Salasilah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam:

"سَيِّدُنَا مُحَمَّدٍ
 هُوَ ابْنُ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبْدُ الْمُطَّلِبِ بْنِ هَاشِمٍ بْنِ عَبْدِ مَنَافٍ بْنِ قُصَىْ بْنِ كِلابِ بْنِ مُرَّةٌ بْنِ كَعْبٍ بْنِ لُؤَىٍّ بْنِ غَالِبِ بْنِ فَهْرٍ بْنِ مَالِكٍ بْنِ النَّضَرِ بْنِ كِنَانَةٍ بْنِ حُزَيْمَةٍ بْنِ مُدْرِكَةٍ بْنِ إِلْيَاسٍ بْنِ مُضَرٍّ بْنِ نِزَارٍ بْنِ مَعْدٍ بْنِ عَدْنَانِ.
وَأُمُّهُ بِنْتٌ وَهْبٍ بْنِ عَبْدِ مَنَافٍ بْنِ زَهْرَةٍ بْنِ كِلابٍ".

Firman Allah ta`ala

"إِنَّ اللهَ وَمَلآئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِيِّ يَآ أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا".

Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya (Nabi Muhammad) dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

(Surah al-Ahzab: 56)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa betapa kasihnya Allah kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Ketika ayat ini diturunkan, para sahabat Nabi bingung kerana mereka tidak tahu bagaiman untuk berselawat kepada Nabi. Lalu mereka pun datang kepada Nabi dan berkata:

"يَا رَسُوْلَ اللهِ، أَمَّا السَّلامُ عَلَيْكَ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَكَيْفَ الصَّلاةُ عَلَيْكَ؟".

Maksudnya:
"Wahai Rasulullah, mengenai cara mengucapkan salam kepadamu kamu sudah mengetahuinya, lalu bagaimana cara berselawat kepadamu?".

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"قُوْلُوْا: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مُجِيْدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ".

Maksudnya:
 "Ucapkanlah: Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah, limpahkanlah keberkatan kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebaimana Engkau telah meilmpahkan keberkatan kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia".

(Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muslim dan al-Nasa’i)

Cuba perhatikan hadith di atas, ketika Allah memerintahkan kita untuk berselawat kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, mengapa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang mengajarkan cara berselawat kepada kita untuk berselawat kepada baginda. Mengapa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam mengajarkan kita berselawat dan akhirnya kembalikan pujian itu kepada Allah ta`ala? Kita diperintahkan untuk berselawat tetapi dalam masa yang sama kita disuruh supaya meminta Allah berselawat kepada Nabi sallallahu`alaihi wasallam? Salah satu sebabnya adalah kerana tidak ada yang mampu berselawat kepada Nabi sallallahu`alaihi wasallam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, kecuali Allah ta`ala sendiri. Kita adalah manusia-manusia yang kotor dan lemah. Dengan segala kekurangan dan kelemahan kita ini, kita tidak akan mampu berselawat kepada Nabi sallallahu`alaihi wasallam dengan sebenarnya. Oleh kerana itulah Nabi sallallahu`alaihi wasallam mengajarkan kepada kita untuk meminta Allah berselawat kepada baginda. Lihatlah betapa tinggi dan mulianya kedudukan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.[1]

Saudara-saudaraku, selawat merupakan sebuah ibadah mulia yang mudah untuk dikerjakan dan mendapat pahala yang besar. Para ulama’ telah menyatakan bahawa selawat hukumnya adalah wajib, hanya perbezaan pendapat bilakah diwajibkan untuk mengucap selawat tersebut. Al-Imam Malik iaitu pengasas Mazhab Maliki menyatakan bahawa kewajipan selawat tersebut hanya berlaku sekali seumur hidup, sedangkan al-Imam al-Syafi`e iaitu pengasas mazhab Syafi`e menyatakan bahawa kewajipan selawat tersebut berlaku setiap hari di dalam salat iaitu dalam tasyahhud akhir.

Alagkah ruginya, begitu banyak masa kita terbuang begitu sahaja tanpa pahala bahkan sia-sia masa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua. Lisan yang sepatutnya berselawat kepada Nabi tetapi lisan kita lebih banyak membicarakan perka-perkara maksiat yang dimurkai oleh Allah ta`ala. Sekiranya kita mengetahui betapa besarnya pahala yang diberikan oleh Allah ta`ala kepada mereka yang berusaha dan sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.

Menurut sebahagian ulama, saat yang paling dianjurkan untuk membaca selawat kepada Nabi adalah pada malam JUMAAT dan hari JUMAAT, pada waktu tasyahhud awal, ketika pembacaan doa qunut, selepas azan dan qamat, ketika berdoa, memasuki masjid, melakukan saie di Shafa dan Marwa, ketika mendengar, menyebut atau membaca nama Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, ketiak berada dalam saat pertemuan, selesai talbiyyah, mengusap hajar aswad, ziarah makam baginda sallallahu`alaihi wasallam, ke luar ke pasar, bangun pada waktu malam, ketika khatam al-Quran, ketika memasuki masjid, ketika dalam kesusahan, ketika menulis nama Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, ketika berceramah, selepas berwudhuk, ketika memasuki rumah, ketika lupa akan sesuatu, ketiak bersiap untuk tidur, setelah selesai solat Jumaat, ketika mempunyai hajat, ketika berzikir, ketika kaki keletihan hingga tidak dapat bergerak, ketika saat terjadi gempa bumi dan lain-lain sebagainya.

Al-Imam Mujtahid Mutlaq al-Imam Syafi`e rahimahullah berkata: “Aku ingin selawat dibaca sebanyak mungkin dalam segala keadaan”. Beberapa ulama’ mengatakan bahawa ada seratus waktu yang sangat dianjurkan untuk membaca selawat kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.

Keutamaan yang diberikan oleh Allah ta`ala kepada orang-orang yang suka berselawat kepada Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, diantaranya adalah:
  1. Diampunkan dosanya.
  2. Dipenuhi segala keinginannya.
  3. Dikabulkan segala hajatnya.
  4. Ketika hendak meninggal dunia, maka diberi khabar gembira bahawa ia akan masuk ke dalam syurga.
  5. Disucikan.
  6. Dibersihkan.
  7. Diselamatkan daripada bahaya-bahaya yang terjadi pada saat kiamat.
  8. Diharumkan majlisnya.
  9. Dihindarkan daripada kekufuran dan sifat kedekut.
10.  Dikuatkan langkahnya ketika meniti titian sirath yakni jambatan yang menuju ke Syurga yang terbentang di atas Neraka.
11.  Dilembutkan hatinya.
12.  Diberkati umur dan amalnya.
13.  Diberikan rahmat oleh Allah ta`ala dan cinta kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.
14.  Dihidupkan hatinya.
15.  Diberi hidayah oleh Allah.
16.  Namanya dan nama ayahnya akan dikhabarkan oleh malaikat kepada Nabi sallallahu`alaihi wasallam.
17.  Dicatatkan sebagai seorang yang memenuhi kewajipan kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.

Hadith yang menunjukkan keutamaan selawat sangat banyak, di antaranya sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam:

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا".

Maksudnya:
 "Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali".

(Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim)

Dan sabda Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam lagi:

"أكْثِرُوْا الصَّلاةَ عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَإِنَّهُ مَشْهُوْدٌ تَشْهَدُهُ الْمَلائِكَة،ُ وَإِنَّ أَحَدًا لَنْ يُصَلِّيَ عَلَيَّ إِلا عُرِضَتْ عَلَيَّ صَلاتُهُ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهَا".

Maksudnya:
"Perbanyaklah selawat kepadaku di hari Jumaat kerana hari itu adalah hari yang disaksikan oleh para malaikat dan sesungguhnya tidak ada seorang pun yang berselawat kepadaku melainkan selawatnya itu ditunjukkan kepadaku hingga ia selesai berselawat".


Ketika mendengar hadith di atas, Abu Darda radiyallahu`anhu bertanya kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, Wahai Rasulu, apakah itu masih berlaku setelah engkau meninggal dunia nanti?

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menjawab:

"وَبَعْدَ الْمَوْتِ إِنَّ اللهَ حَرَّمَ عَلَى الأَرْضِ أَنْ تَأْكُلَ أَجْسَادَ الأَنْبِيَآءِ، فَنَبِيُّ اللهِ حَيٌّ يُرْزَقُ".

Maksudnya:
"(Benar, ketentuan itu) juga berlaku setelah wafat (ku), kerana sesungguhnya Allah telah mengharamkan bumi untuk memakan jasad pada Nabi. Seorang Nabi utusan Allah sentiasa hidup dan memperolehi rezeki".

(Diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمْعَةِ كَانَتْ شَفَاعَةً لَهُ عِنْدِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ".

Maksudnya:
"Barangsiapa berselawat kepadaku di hari jumaat, maka selawat tersebut akan menjadi syarat baginya kelak di hari kiamat".

(Diriwayatkan oleh Dailamu dari Aisyah)


Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ حِيْنَ يُصْبِحُ عَشْرًا وَحِيْنَ يُمْسِيْ عَشْرًا أَدْرَكَتْهُ شَفَاعَتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ".

Maksudnya:
"Barangsiapa berselawat kepadaku sepuluh kali di waktu pagi dan waktu petang, maka kelak di hari kiamat dia akan mendapat syafa`atku".

(Diriwayatkan oleh al-Tabarani dari Abu Darda)

Tidak cukup demikian, kedekatan seseorang di hari kiamat dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasalam pun diukur dengan banyaknya selawat orang itu kepada baginda. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim.

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"أَوْلَى النَّاسِ بِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلاةً".

Maksudnya:
"Orang yang paling utama disisiku di hari kiamat kelak adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku".

(Diriwayatkan oleh Dailamu dari Aisyah)

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ حِيْنَ يُصِبْحُ عَشْرًا وَحِيْنَ يُمْسِيْ عَشْرًا أَدْرَكَتْهُ شَفَاعَتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ".

Maksudnya:
"Barangsiapa berselawat kepadaku sepuluh kali di waktu pagi dan petang hari, maka kelak di hari kiamat dia akan mendapat syafa`atku".

(Diriwayatkan oleh al-Thabarani dari Abu Darda)

Tidak cukup sedemikian itu, kedekatan seseorang di hari kiamat dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam pun diukur dengan banyaknya selawat seseorang itu kepada baginda sallallahu`alaihi wasallam.

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"صَلُّىوْا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلاتَكُمْ تَبْلُغُنِيْ حَيْثُ كُنْتُمْ".

Maksudnya:
"Berselawatlah kepadaku, sebab sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku di mana pun kalian berada".

(Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah)

Selain itu, selawat merupakan saranan yang sangat bagus bagi seseorang yang ingin memanjatkan berbagai doa kepada Allah. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"الدُّعَاءُ بَيْنَ الصَّلاتَيْنِ عَلَيَّ لا يُرَدُّ، وَأَنَّ اللهَ وَكَّلَ بِقَبْرِيْ مَلَكًا أَعْطَاهُ أَسْمَآءَ الْخَلائِقِ، فَلا يُصَلِّيْ عَلَيَّ أَحَدٌ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلا بَلَّغَنِيْ بِاسْمِهِ وَاسْمِ أَبِيْهِ، هَذَا فُلانُ بْنُ فُلانٍ قَدْ صَلَّى عَلَيْكَ".

Maksudnya:
"Doa yang dipanjatkan di antara dua selawat kepadaku tidak akan tertolak. Dan sesungguhnya Allah telah mewakilkan seorang malaikat di kuburku dan Allah telah memberinya seluruh nama makhluk, tidak ada seorang pun yang berselawat kepadaku hingga hari kiamat, kecuali malaikat tersebut menyampaikannya kepadaku dengan namanya dan nama ayahnya, ini si fulan bin fulan telah berselawat kepadamu".

Dalam dua hadith di bawah ini, anda akan melihat betapa besarnya manfaat selawat bagi kita.

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"الصَّلاةُ عَلَيَّ نُوْرٌ".

Maksudnya:
"Selawat kepadaku adalah cahaya".

(Diriwayatkan oleh Daruquthni)

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ نَسِيَ الصَّلاةَ عَلَيَّ خَطِئَ طَرِيْقَ الْجَنَّةِ".

Maksudnya:
"Barangsiapa melalaikan selawat kepadaku, maka dia telah berpaling daripada jalan menuju Syurga".

(Diriwayatkan oleh Ibn Majah)


[1] Dr. Muhammad Abduh Yamani (t.t), Bi Abi Anta Wa Ummi Ya Rasulullah, (t.tp): Tihamah, cet, 3, h. 10.

No comments:

Post a Comment