Thursday, 11 August 2011

20 sifat wajib bagi ALLAH


sifat 20

1. Wujud (Ada)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah wujud, Allah
ta`ala itu wujud, kewujudan Allah tanpa ada yang mewujudkan-Nya.
Adapun wujud makhluk adalah dengan ada yang mewujudkannya
tetapi Allah tidak ada yang mewujudkan-Nya.
Allah ta`ala berfirman.
﴾ إِنَّنِيۤ أَنَا ٱللَّهُ لاۤ إِلَٰهَ إِلاۤ أَنَاْ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلوٰةَ لِذِكْرِيۤ ﴿ ١٤
Maksudnya :
“Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku,
maka sembahlah aku dan dirikanlah solat untuk mengingat
Aku”. (Surah Thaha : 14)
Allah ta`ala berfirman.
﴾ أَفِي اللهِ شَكٌّ ﴿ ١٠
Maksudnya :
“Tidak ada keraguan adanya Allah”. (Surah Ibrahim : 10)
Adanya alam semesta ini beserta isinya merupakan tanda bahawa
Allah ta`ala wujud dan mustahil Allah adam iaitu tiada.

sifat 20- Qidam
2. Qidam (Sedia Kala)
Allah ta`ala berfirman.
هُوَ ٱلأَوَّلُ وَٱلآخِرُ وَٱلظَّاهِرُ وَٱلْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya :
“Dialah yang Awal (ada tanpa permulaan) dan yang Akhir
(tanpa pengakhiran) yang zahir dan yang batin dan Dia
Maha Mengetahui segala sesuatu”. (Surah Al-Hadid : 3)
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيرُهُ
Maksudnya:
“Allah telah wujud (pada azali) sedang sesuatu selain-Nya
masih belum wujud”.
[Diriwayatkan oleh al-Bukhari,
al-Baihaqi dan ibn Jarud daripada Imran bin Husain
radiyallahu`anhu]
Al-Hafiz Ahmad ibn al-Husayn al-Bayhaqi (W. 458 H) juga
mensyarahkan hadis tersebut di dalam kitabnya dengan berkata:
“(Hadis ini) Menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah ta`ala
telah wujud sedangkan selain-Nya belum ada, air tidak ada,
`Arasy tidak ada dan selain daripada kedua-dua benda tersebut
juga tiada wujud kesemua perkara tersebut (air, `Arasy, selain
air dan `Arasy)."
Adapun makhluk tidak bersifat azali iaitu sedia kala atau tidak
ada permulaan, makhluk adalah suatu kejadian yang punya pencipta.
Kewujudan Allah tidak didahului dengan ketiadaan. Mustahil Allah
ta`ala itu huduth (baharu) dan mustahil kewujudan-Nya mempunyai
permulaan dan pengakhiran.

Sifat 20- BAQA`
3-BAQA
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah ta`ala bersifat
Al-Baqa’ iaitu kewujudan Allah adalah kekal, tidak akan binasa, tidak
musnah dan mengalami kesakitan. Sifat kekal Allah wajib dari segi
akal yakni akal tidak boleh menolaknya. Jika Dzat Allah ta`ala bersifat
kekal, maka segala sifat yang wajib bagi Dzat-Nya turut bersifat kekal
seperti qudrat, ilmu, mendengar, melihat, berkehendak dan selainnya.
Allah ta`ala berfirman:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلالِ وَالإكْرَامِ
Maksudnya:
“Semua yang ada di bumi itu akan binasa .Dan tetap kekal
Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.”
(Surah al-Rahman : 26-27)
Allah ta`ala adalah Dzat yang Maha Mengatur alam semesta. Dia
(Allah) wujud selama-lamanya dan tidak akan binasa. Allah jugalah
yang merupakan Dzat yang mutlak dalam mengatur dan mentadbir
segala ciptaan-Nya. Hanya kepada-Nya seluruh kehidupan ini akan
kembali.
Allah ta`ala berfirman:
“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa ,kecuali Allah ,bagi-
Nyalah segala ketentuan dan hanya kepada-Nyalah kamu
dikembalikan.” (Surah Al-Qashash : 88)
Oleh itu, mustahil Allah ta`ala itu bersifat fana’ iaitu binasa. Adapun
makhluk yang tidak akan binasa itu harus baginya kebinasaan dari segi
akal namun ia dikekalkan dengan kehendak Allah ta`ala, manakala
sifat kekal pada Dzat Allah tersebut adalah kekal yang dzati/hakiki,
tanpa berhajat kepada dzat yang lain untuk mengekalkannya. Antara
makhluk yang tidak binasa dengan kehendak Allah ta`ala ialah:
1. Syurga
2. Neraka
3. Lauh al-Mahfuz
4. `Arasy
5. Qalam
6. Kursi
7. Roh
8. Tulang Ajbul Zanbi / tulang Sulbi
9. Jasad sekalian Nabi
10. Jasad orang yang mati syahid iaitu orang yang mati di
dalam perang di jalan Allah.
Kesimpulannya, segala makhluk-Nya yang tidak musnah ini (baqa’
muqayyad), keberkekalan mereka adalah semata-mata dengan kehendak
Allah. Maka terbatallah qawl yang mengatakan bahawa keberkekalan
makhluk-makhluk tersebut adalah keberkekalan yang bersifat dzati (kekal dengan sendiri).

Allah tidak menyamai makhluk

Sifat 20-Mukhalafatuhu lilhawadith

4-Mukhalafatuhu Lilhawadith (Bersalahan Dzat Allah
Dengan Sesuatu Yang Baharu)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah tidak menyerupai
sesuatupun di antara makhluk-makhluk-Nya dan tidak ada sesuatupun
yang menyamai-Nya.
Allah ta`ala berfirman:
﴾ ولِلَّهِ الْمَثَلُ الأَعْلَى ﴿ ٦٠
Maksudnya :
“Dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi”. (Surah al-
Nahl : 60)
Allah ta`ala berfirman:
﴾ فَلا تَضْرِبُواْلِلَّهِ الأَمْثَالَ ﴿ ٧٤
Maksudnya :
“Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi
Allah”. (Surah al-Nahl : 74)
Allah ta`ala berfirman :
َ هَلْ تعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا
Maksudnya :
“Engkau tidak menemukan yang serupa dengan-Nya (Allah)”.
(Surah Maryam : 65)
Allah ta`ala berfirman:
﴾ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ﴿ ١١
Maksudnya :
“Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun dari makhluk-Nya
(dari semua segi dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-
Nya)”. (Surah al-Syura : 11)
Allah ta`ala berfirman:
﴾ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿ ٤
Maksudnya :
“Dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya”. (Surah
al-Ihklas : 4)
Al Imam Abu Bakr al-Siddiq radiyallahu`anhu berkata :
“الْعَجْزُ عَنْ دَرَكِ ا دْإلِْرَاكِ إِدْرَاكٌ وَالْبَحْثُ عَنْ كُفْرٍ وَإِشْرَاكٍ”.
Maksudnya :
“Pengakuan bahawa pemahaman seseorang tidak mampu
untuk sampai megetahui hakikat Allah adalah keimanan,
adapun mencari (untuk mengetahui) tentang Allah, yakni
membayangkan-Nya adalah kekufuran”.
• Maksudnya ialah kita beriman bahawa Allah ta`ala tidak
seperti makhluk-Nya, tanpa memikirkan tentang haikat Dzat-
Nya. Adapun berfikir tentang makhluk-Nya adalah perkara
yang dianjurkan kerana segala kewujudan di alam ini adalah
merupakan tanda kepada wujudnya Allah subhanahu wata`ala.
Mengenal Allah adalah bukan dengan cara mengetahui akan
Dzat Allah kerana manusia tidak akan mampu mengenal Allah
menerusi Dzat-Nya. Adapun mengenal yang sebenar adalah
dengan mengetahui segala sifat yang wajib, mustahil dan harus
bagi Dzat Allah subhanahu wata`ala.
Berkata Al-Imam Ahmad ibn Hanbal dan Al-Imam Dzu al-Nun
al Mishri dan Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi (salah seorang murid Al
Imam Malik yang masyhur) :
“مَهْمَا تَصَوَّرْتَ بِبَالِك, فَاللهُ بِخِ فَالِ ذَلِك”.
Maksudnya :
“Apapun yang terlintas dalam benak kamu (tentang Allah),
maka Allah tidak seperti itu(sesuatu yang terlintasa dibenak
kamu)”.
“Maka Allah tidak menyerupai segala sesuatu”.
اللهُ خَلَقَ النُّوْرَ لا يُشْبِهُ النُّوْرَ.
اللهُ خَلَقَ الظَّلامَ لا يُشْبِهُ الظَّلامَ.
اللهُ خَلَقَ الإِنْسَانَ لا يُشْبِهُ الإِنْسَانَ.
اللهُ خَلَقَ الْمَلائِكَةَ لا يُشْبِهُ الْمَلائِكَةَ.
Allah yang menciptakan Nur (cahaya) tetapi Dia tidak
menyerupai Nur (cahaya).
Allah yang menciptakan gelap tetapi Dia tidak
menyerupai gelap.
Allah yang menciptakan manusia tetapi Dia tidak
menyerupai manusia.
Allah yang menciptakan malaikat tetapi Dia tidak
menyerupai malaikat.



Allah yang menciptakan segala jisim yang besar (benda-benda yang
besar) dan Dia yang menciptakan segala jisim yang kecil (benda-benda
kecil), maka oleh sebab itu, Dia tidak menyerupai jisim-jisim yang
besar dan jisim-jisim yang kecil.

Kesimpulannya, mustahil Allah ta`ala menyamai makhluk yang
dicipta oleh-Nya dan mustahil Allah ta`ala menyamai sesuatu kerana
Maha Suci Allah daripada menyamai makhluk-makhluk-Nya

sifat 20- Qiyamuhu Binafsih (Allah Tidak Berhajat Kepada Sesuatu)

5-Qiyamuhu Binafsih (Allah Tidak Berhajat Kepada
Sesuatu)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah tidak berhajat iaitu
tidak memerlukan kepada sesuatupun selain-Nya. Sebaliknya segala
makhluk adalah sebetulnya yang berhajat kepada Allah subhanahu wa
ta`ala.
Allah ta`ala berfirman:
يَآءَيُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلْفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ
Maksudnya :
“(Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai
umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah
(dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang
Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”. (Surah Faathir : 15)
Dan firman Allah ta`ala lagi:
﴾ وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِ نَفْسِهِ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلْعَالَمِينَ ﴿ ٦
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan
sesuatupun) daripada sekalian (alam) makhluk (`Arasy, Kursi,
langit, tempat dan lain-lain)”. (Surah Al-Ankabut : 6)
• Apabila kita mengatakan Allah ta`ala berhajat kepada makhluk
yang diciptakan-Nya ,maka nescaya lemahlah Allah ta`ala.
Ini adalah kerana setiap sesuatu yang berhajat kepada sesuatu
yang lain ,pasti ia tidak sempurna .Mustahil Allah berhajat
kepada makhluk-makhluk-Nya bahkan segala makhluk yang
diciptakan-Nya adalah sebenarnya berhajat kepada-Nya.
“Maka Allah tidak berhajat kepada sesuatu”.
اللهُ خَلَقَ الإِنْسَانَ لا يَحْتَاجُ لِلإنْسَانِ.
اللهُ خَلَقَ الْمَلائِكَةَ لا يَحْتَاجُ إِلَى الْمَلائِكَةِ.
اللهُ خَلَقَ السَّمَاءَ لا يَحْتَاجُ إِلَى السَّمَاءِ.
اللهُ خَلَقَ الْعَرْشَ لا يَحْتَاجُ إِلَى الْعَرْشِ.
اللهُ خَلَقَ الْمَكَانَ لا يَحْتَاجُ إِلَى الْمَكَانِ.
Allah yang menciptakan manusia tetapi Allah tidak
berhajat kepada manusia.
Allah yang menciptakan malaikat tetapi Allah tidak
berhajat kepada malaikat.
Allah yang menciptakan langit tetapi Allah tidak
berhajat kepada langit.
Allah yang menciptakan `Arasy tetapi Allah tidak
berhajat kepada `Arasy.
Allah yang menciptakan tempat tetapi Allah tidak
berhajat kepada tempat.
Oleh itu, jelaslah bahawa Allah ta`ala tidak berhajat kepada
sesuatupun daripada makhluk-Nya. Bahkan Allah tidak berhajat
kepada segala ibadah yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.
Walaupun Allah ta`ala telah mensyariatkan solat, puasa, zakat, haji,
sedekah dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan bermakna
Allah berhajat kepada segala ibadat yang disyariatkan-Nya itu. Bahkan,
segala manfaat hasil daripada pelaksanaan amal ibadat tersebut akan
dipersembahkan kepada si pelaku-Nya di akhirat nanti. Jadi ibadah
tersebut bukan merupakan suatu kepentingan bagi Allah ta`ala, tetapi
ia tidak lain hanyalah merupakan suatu kewajipan bagi manusia selaku
hamba Alla ta`ala. Allah ta`ala telah menyatakan di dalam al-Quran
berkenaan `Arasy.
Allah ta`ala berfirman:
﴾ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ ﴿ ١٢٩
Maksudnya :
“Dan Dialah yang memiliki `Arasy yang agung”. (Surah Al-
Taubah : 129)
Allah ta`ala berfirman:
“Dan (pada hari itu) Engkau akan melihat malaikat beredar
di sekeliling `Arasy Dengan bertasbih memuji Tuhan mereka,
serta mereka dihakimi Dengan adil; dan (masing-masing
bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan:
“Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan Yang memelihara dan
mentadbirkan seluruh alam”. (Surah Az-Zumar : 75)
• Hal ini terjadi pada ketika orang mu`min telah memasuki
syurga. Mereka melihat ketika di dalam syurga `Arasy Allah
dikelilingi oleh malaikat yang bertasbih memuji Allah ta`ala.
Allah ta`ala berfirman:
“Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup sangkakala
dengan sekali tiup, dan bumi serta gunung-ganang diangkat
(dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya Dengan sekali
hancur, maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, dan
terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan
runtuh), sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal
segala penjurunya, dan `Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul
oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat Yang mengawal
itu”. (Surah Al-Haqqah : 13-17)
Berdasarkan ayat-ayat di dalam surah Al Haqqah itu
dapat diambil beberapa `ibrah dan pengajaran :
1. Pada hari kiamat, ditiupkan sangkakala oleh malaikat Israfil.
Setelah ditiupkan, maka terjadilah kiamat besar.
2. Pada ketika itu bumi dan isinya iaitu seperti gunung, bukit,
kota, rumah, laut, sungai hancur lebur.
3. Langit dan isinya, bulan, matahari, bintang, planet, komet
semuanya hancur.
4. Malaikat-malaikat ketika itu pergi ke penjuru dunia dan 8
malaikat memikul `Arasy Allah ta`ala.
5. `Arasy itu tidak hancur pada hari kiamat kerana diselamatkan
oleh 8 malaikat.
6. Kesimpulannya, dalam ayat tersebut bahawa bumi, bintang,
matahari dan lain-lain semuanya musnah, sedangkan `Arasy
Allah ta`ala tidak musnah.
Adapun makhluk yang terbesar dari ciptaan Allah adalah ‘Arsy.
Sebagaimana sabdaan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam:
“مَا السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ فِي الْكُرْسِيِّ إِلاَّ كَحَلْقَةٍ مُلْقَاةٍ فِي أَرْضِ فَلاةٍ ، وَفَضَلُ
الْعَرْشِ عَلَى الْكُرْسِيِّ كَفَضْلِ الْفَلاةِ عَلَى تِلْكَ الْحَلْقَةِ “.
Maksudnya :
“Tidaklah tujuh lapisan langit dinisbahkan dengan Kursi
melainkan umpama cincin di padang yang lapang dan
keluasan `Arasy jika dibandingkan dengan Kursi seperti cincin
kecil terdapat di padang tersebut”. [Diriwayatkan oleh al-
Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Asma’ Wa al-Sifat]
Hadis ini telah menjelaskan bahawa sesungguhnya `Arasy adalah
merupakan makhluk yang paling besar bentuk dan saiznya, ia berada di
bawah kekuasaan Allah ta`ala. `Arasy di letakkan di tempat yang sangat
tinggi dan `Arasy tersebut tidak akan sama sekali jatuh menimpa langit
dan bumi.
Al-Misbah al-Munir wa al-Sahabi al-Jalil wa al-Khalifah al- Rasyidin,
Sayyiduna `Ali ibn Abi Talib radiyallahu `anhu (W. 40 H)
berkata :
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan `Arasy (makhluk yang
paling besar) adalah untuk menampakkan dan menzahirkan
kekuasaan-Nya dan bukan untuk menjadikannya sebagai
tempat bagi Dzat-Nya”.
Daripada kenyataan Saiyidina `Ali radiyallahu`anhu ini jelas
menunjukkan bahawa Allah ta`ala menciptakan `Arasy bukan untuk
dijadikan tempat duduk bagi-Nya tetapi ia adalah untuk menampakkan
kekuasaan-Nya yang mampu menciptakan makhluk yang begitu besar.
Oleh itu jelaslah bahawa `Arasy adalah sebesar-besar makhluk ciptaan
Allah dan ia dikelilingi oleh para malaikat yang tidak terkira banyaknya
dan sentiasa bertasbih kepada Allah ta`ala.
Selain itu, perlu juga diketahui apakah definisi tempat di sisi para
ulama` bahasa supaya kita dapat memahami dan mengetahui dengan
yakin dan insaf bahawa Allah ta`ala sama sekali tidak berhajat kepada
tempat kerana tempat itu adalah makhluk ciptaan-Nya. Antara ulama`
yang mendefinisikan perkataan “tempat” ialah :
Al-Imam al-Lughawi al-Raghib al-Asfahani berkata :
“الْمَكَانُ عِندَ أَهْلِ الْلُغَةِ الْمَوْضِعُ الْحَاوِيْ لِلْشَّيْءِ”.
Maksudnya :
“Tempat di sisi pakar bahasa ialah tempat yang terkandung
padanya sesuatu.”
Al-Hafiz al-Lughawi Murtadha al-Zabidi al-Hanafi al-Hasany
berkata :
“الْمَكَاُن هُوَ الْمَوْضِعُ الْحَاوِيْ لِلْشَيْءِ”.
Maksudnya :
“Al Makan adalah tempat letak bagi sesuatu.”
Al-Syeikh Yusuf Sa`id al-Shofy al-Maliki berkata :
قَالَ أَهْلُ السُّنَّةِ : “الْمَكَانُ هُوَ الْفَرَاغُ الَّذِي يُحَلُّ فِيْهِ الْجِسْمُ”.
Maksudnya :
Berkata Ahlus-Sunnah : “Tempat merupakan suatu ruangan
kosong yang diisi oleh jisim”.
Al-Syeikh Salamah Al-Qodho`i Al-`Azami` al-Syafi`e berkata :
“الْمَكَانُ هُوَ الْوَضْعُ الَّذِي فِيْهِ الْجَوْهَرُ عَلَى قَدْرِهِ وَالْجِهَةُ هِيَ ذَلِكَ
الْمَكَانُ”.
Maksudnya :
“Al Makan ialah tempat bagi jauhar( jisim )mengikut saiznya,
arah pula adalah merupakan tempat itu sendiri” .
Al-Syeikh Kamaluddin al-Bayadhi al-Hanafi berkata :
“الْمَكَانُ هُوَ الْفَرَاغُ الَّذِيْ يُشْغِلُهُ الْجِسْمُ”.
Maksudnya :
“Al Makan( tempat )adalah ruang kosong yang dipenuhi oleh
jisim” .
Manakala di antara ulama` yang mendefinisikan “arah” adalah
Imam Al Lughawi Ibnu Manzur berkata :
“Dan arah( jihah )dan wijhah semuanya adalah tempat yang
kamu menghala dan menghadap kepadanya” .
Al-Hafiz al-Lughawi al-Faqih Muhammad Murtada al-Zabidi al-
Hanafi (W. 1205 H) berkata dalam kitabnya Ittihaf al-Sadat al-Muttaqin :
“Allah Ta`ala Maha Suci dari perubahan dari suatu keadaan
kepada suatu keadaan yang lain dan Maha Suci dari
perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.
Demikian juga( Allah Maha Suci juga dari sifat )berpisah dan
bersambung kerana semua sifat tersebut adalah sebahagian
daripada sifat-sifat makhluk.“
Maka jelas di sini makna-makna tempat dan arah sepertimana yang
dijelaskan oleh ulama` pakar bahasa. Ini menunjukkan bahawa Nabi
sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabat baginda mempercayai bahawa
Allah Ta`ala wujud tanpa bertempat dan arah seperti di atas `Arasy
atau di langit. Kemudian makna “tempat” dan “arah” harus dilihat dari
sudut bahasa arab kerana al-Quran diturunkan dengan bahasa arab.
Allah ta`ala berfirman :
“Al-Quran yang berbahasa arab.” (Surah Al-Zumar : 28)
Sesungguhnya Nabi kita lebih mengetahui bahasa arab berbanding
al-Mujassimah seperti golongan al-Wahhabiyyah dewasa ini yang berpegang
dengan zahir nas-nas al-Quran dan hadis yang bersifat al-Mutasyabihat
(samar-samar) iaitulah sekiranya ia dilihat secara zahirnya, maka
ayat-ayat tersebut seakan-akan menunjukkan bahawa Allah Ta`ala
mengambil tempat, beranggota dan sebagainya. Ta`alallahu`an Zalika`Uluwwan Kabira…

sifat 20- wahdaniyat (Esa)

6-Wahdaniyat (Esa)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahwa Allah Esa dalam kekuasaanNya,
dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam hal ketuhanan.
Allah ta`ala berfirman :
﴾ قُلْ إِنَّمَآ يُوحَىٰ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَهَلْ أَنتُمْ مُّسْلِمُونَ ﴿ ١٠٨
Maksudnya :
“Katakanlah : Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku
adalah: Bahawasanya Tuhanmu adalah Tuhan Yang Esa,
maka hendaklah kamu berserah diri (kepada-Nya)”. (Surah
Al-Anbiya’ : 108)
Dan Allah ta`ala berfirman lagi :
﴾ قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ﴿ ١
Maksudnya :
“Katakanlah : (Wahai Muhammad) Dialah Allah Yang Maha
Esa”. (Surah Al-Ikhlas : 1)
“قُلْ أَىْ قُلْ يَا مُحَمَّد”
هُوَ اللهُ احَدٌ : “أَىْ أَنَّ اللهَ وَاحِدٌ لا شَرِيْكَ لَهُ. الْوَاحِدُ إِذَا أُطْلِقَ عَلَى اللهِ
فَمَعْنَاهُ الَّذِي لا شَرِيْكَ لَهُ وَلَيْسَ مَعْنَاهُ أَنَّهُ وَاحِدٌ مِنْ طَرِيْقِ الْعَدَدِ لأنَّ الْوَاحِدَ
مِنْ طَرِيْقِ الْعَدَدِ يَكُوْنُ جِسْمًا وَيَجُوزُ عَليْهِ الانْقِسَامُ. وَأَمَّا اللهُ فَلا يُشْبِهُ
الْجِسْمَ وَلا يَجُوزُ عَلَيْهِ الانْقِسَامُ”.
“Iaitu bahawasanya Allah esa‚ tiada sekutu baik-Nya.
Perkataan wahid apabila digunakan pada Dzat Allah,
maka ia membawa makna tiada sekutu bagiNya dan bukan
membawa makna ‘SATU’ daripada jalan yang boleh dikira,
kerana sesungguhnya satu daripada jalan yang boleh dikira itu
adalah jisim dan boleh ke atasnya (jisim) menerima bahagi.
Dan adapun Allah tidak menyerupai jisim dan tidak harus ke
atas-Nya (Allah) menerima bahagi”.
الْوَاحِدُ : “أَيْ الَّذِي شَالَرِيْكَ لَهُ فِى ا لْألُوْهِيَّةِ.”
Al Wahidu : “iaitulah yang tidak ada sekutu bagi-Nya dalam hal-hal
ketuhanan.”
1. Makna al-Wahid di sini kata ulama` ertinya Esa iaitu tiada
sekutu bagi-Nya. Bukanlah yang dimaksudkan dengan
makna Esa di sini adalah satu kerana satu adalah bilangan
nombor menerima bilangan itu adalah sifat makhluk
dan setiap makhluk itu berjisim dan berjirim dan boleh
dipotong-potong atau dibelah bahagi.
2. Maka makna al-Wahid di sini dengan makna yang sebenar
iaitulah tiada sekutu bagi-Nya. Sebab itulah al-Wahid
diterjemahkan kepada Esa kerana apabila ia diterjemahkan
kepada satu, maka ia akan menjadi bilangan yang boleh
dikira. Maha Suci Allah Ta`ala daripada sifat berbilangbilang.
3. Berbeza dengan al-Wahid apabila disandarkan kepada
manusia ia akan membawa makna satu iaitu merujuk
kepada bilangan.
4. Perkataan al-Wahid apabila disandarkan kepada Allah
Ta`ala, maksudnya Esa.
5. Esa maksudnya tiada sekutu bagi-Nya.
Al-Imam al-Mujtahid Abu Hanifah al-Nu`man ibn Thabit radiyallahu
`anhu (W. 150 H) berkata dalam kitabnya al-Fiqh al-Absat :
“إِنَّ الله وَاحِدٌ لا مِنْ طَرِيْقِ الْعَدَدِ وَلَكِنْ مِنْ طَرِيْقِ أَنَّهُ لا شَرِيْكَ لَهُ فِى الأُ
لُوْهِيَّةِ.”
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah itu Esa bukan dengan jalan (cara)
bilangan (boleh dikira), tetapi Ia Esa dengan jalan (cara)
tidak ada sekutu bagi-Nya dalam hal-hal ketuhanan”.
Kesimpulannya, berdasarkan kata-kata al-Imam Abu Hanifah ini
jelas menunjukkan bahawa maksud Esa yang dikehendaki bukanlah
bermaksud satu iaitu nombor (boleh dikira) tetapi Esa yang bermaksud
iaitu tiada sekutu bagi-Nya. Hal ini telah menolak dakwaan sesetengah
pihak yang mengatakan Esa adalah satu. Hal ini menyebabkan seseorang
itu menjisimkan Allah Ta`ala kerana satu itu bilangan nombor
dan boleh menerima bahagi dan boleh dibayangkan. Adapun Allah
Ta`ala selama-lamanya tidak akan menyamai makhluknya dari segala
sudut dan tidak ada sesuatupun yang menyamai-Nya.

sifat 20-Qudrah ( Kuasa)
7-Qudrat (Kuasa)
Beriman kepada Allah adalah menyakini bahawa segala sesuatu yang
berada di alam ini baik yang berada di langit, bumi, di atas langit atau
yang berada di antara langit dan bumi atau di bawah bumi, maka semuanya
itu adalah ciptaan Allah ta`ala kerana Dialah yang telah menjadikannya
daripada tiada kepada ada. Ini termasuk juga perbuatan
manusia dan niat-niat mereka, kerana yang demikian itu termasuk dari
bahagian alam ini. Oleh itu, Allah ta`ala Maha Kuasa di atas setiap sesuatu
dan tidak ada sesuatupun yang mampu melemahkan-Nya sama
ada yang berada di bumi mahupun di langit.
Allah Ta`ala berfirman:
وكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُل شَيْءٍ قَدِيراً
Maksudnya :
“Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu”. (Surah Al-Ahzab : 27)
Allah ta`ala berfirman :
إِنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah itu amat berkuasa di atas setiap sesuatu”.
(Surah Al-Baqarah : 20)
Allah ta`ala berfirman :
﴾ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ ﴿ ٢
Maksudnya :
“Allah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu”. (Surah Al-
Furqan : 2)
Kalimah شيء dalam ayat tersebut datang dalam bentuk (nakirah)
dan menatijahkan maksud yang umum iaitu merangkumi jisim, anggota
badan dan perbuatan. Jelaslah bahawa Allah ta`ala yang menciptakan
segala ciptaan itu daripada tiada kepada ada dan tidak ada
sesuatupun yang mampu menciptakan sesuatu benda daripada tiada
kepada ada melainkan Allah. Adapun manusia yang seolah-olah menciptakan
sesuatu itu pada hakikatnya bukanlah bermaksud mencipta
secara mutlak, ini adalah kerana makhluk hanya semata-mata menyusun
benda yang telah sedia ada. Hal ini dijelaskan di dalam firman
Allah ta`ala.
Allah ta`ala berfirman:
هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللهِ
Maksudnya :
“Tiada pencipta melainkan Allah”. (Surah Fatir : 3)
Berkata Al-Imam Al-Nasafi di dalam kitabnya:
“Jika seseorang membaling gelas ke arah batu dan gelas itu
telah pecah, maka perbuatan membaling dan memecahkan
serta keadaan pecahnya gelas itu kesemuanya telah di ciptakan
oleh Allah.”
Kesimpulannya ,semua perbuatan makhluk adalah dijadikan oleh
Allah ta`ala dan makhluk tidak menciptakan perbuatan yang dilakukan
.Adapun fahaman sesat dan kufur yang di pegang oleh golongan
Qadariyyah atau Mu`tazilah yang berkeyakinan bahawa manusia mencipta
perbuatannya sendiri dan perbuatan manusia tidak termasuk dalam
ciptaan Allah ta`ala .Na`uzubillah… Hal ini telah dinyatakan oleh
Rasulullah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Baihaqi
di dalam kitabnya “Al-Qadr” dan al-Imam Ibn Jarir al-Thabari dari
Abdullah ibn Umar.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:
“صِنْفَانٌ مِنْ أُمَّتِيْ لَيْسَ لَهُمَا نَصِيْبٌ فِي الإِسْلامِ الْقَدَرِيَّةُ وَالْمُرْجِئَةُ”.
Maksudnya :
“Dua golongan dari umatku, kedua-keduanya
tidak memiliki bahagian dari Islam iaitulah puak
Qadariyyah (golongan Mu`tazilah yang meyakini
bahawa manusialah yang menciptakan perbuatannya)
dan puak Murji’ah (golongan yang meyakini selama mana
seseorang itu beriman, maka sebarang perbuatan dosa yang
dilakukan tidak mengundang bahaya baginya sama sekali)”.
[Hadis ini telah disahihkan oleh al-Hafiz al-Thabari dan
yang lainnya]
Oleh itu, jelaslah bahawa golongan yang menafikan kekuasaan Allah
dalam menciptakan sesuatu makhluk, setiap pergerakan dan setiap
perbuatan adalah golongan Qadariyyah, maka wajib bagi seseorang itu
menjauhi golongan sesat seperti ini demi memelihara kemurniaan akidahnya.



Sifat 20- Iradat (Berkehendak)
8- iradat(berkhendak)
Beriman kepada Allah adalah dengan menyakini bahawa Allah berbuat
apa yang Dia kehendaki. Allah ta`ala telah mengatur setiap perkara
dengan kehendak dan ilmu-Nya pada azali, maka tidak berlaku
apa-apa di alam ini termasuk pergerakan dan diam, melainkan semuanya
berlaku dengan kehendak-Nya. Sesungguhnya Allah ta`ala
Maha melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kehendak Allah
adalah azali dan apa yang dicipta oleh-Nya adalah baharu. Oleh itu,
kehendak Allah ta`ala tidak berubah-ubah kerana perubahan itu hanya
terjadi kepada makhluk sahaja.
Allah ta`ala berfirman:
﴾ فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ ﴿ ١٦
Maksudnya :
“Maha kuasa berbuat apa yang dikehendakiNya”. (Surah Al-
Buruuj :16)
Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain seperti kebaikan, kejahatan,
ketaatan, kemaksiatan, kekufuran dan keimanan semuanya itu
terjadi dengan kehendak, ilmu, qada` dan qadar Allah. Kebaikan yang
dilakukan oleh manusia adalah dengan keredhaan dan perintah dari
Allah, manakala kejahatan bukan dengan keredhaan dan perintah dari
Allah ta`ala.
Misalnya, barangsiapa yang bertaqwa maka ia adalah semata-mata
limpah kurnia dan taufiq dari Allah ta`ala dan barangsiapa yang fasiq
dan melakukan maksiat, maka ia adalah khizlan dari Allah. Dalam hal
ini, seseorang hamba tidak memiliki apa-apa melainkan kehendak dirinya
sendiri, namun kehendaknya berada di bawah takluk kehendak
Allah ta`ala. Hal ini seperti yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam
al-Quran al-Karim.
Allah ta`ala berfirman:
﴾ وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّا أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَالَمِينَ ﴿ ٢٩
Maksudnya:
“Dan kamu tidak dapat mengkehendaki (mengenai
sesuatupun), kecuali apabila dikehendaki oleh Allah,
Tuhan semesta alam”. (Surah At-Takwir : 29)
Sesungguhnya Allah Maha mengubah ciptaan-Nya sesuai dengan
kehendak-Nya yang azali dan tidak berubah. Sesuatu yang Dia kehendaki
pasti akan terjadi, maka ia akan berlaku pada waktu yang diinginkan
oleh-Nya dan sesuatu yang tidak diinginkan oleh-Nya wujud
maka perkara tersebut tidak akan wujud selama-lamanya. Hal ini telah
dinyatakan di dalam hadis nabi.
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda :
“مَا شَاءَ اللهُ كَانَ وَمَا لَمْ يَشَاء لَمْ يَكُن”.
Maksudnya :
“Apa yang Allah kehendaki wujud, pasti ia akan wujud dan
apa yang Allah tidak kehendaki, pasti ia tidak akan wujud”.
[Diriwayatkan oleh Abu Daud]
Jelaslah kepada kita bahawa Allah ta`ala pentadbir segala sesuatu,
seperti jiwa-jiwa manusia yang di bawah kehendak-Nya. Jika Dia
mengkehendaki seseorang manusia itu berada dalam kesesatan maka
kesesatanlah tempatnya dan jika Dia mengkehendaki seseorang itu berada
dalam kebenaran maka kebenaranlah tempatnya.
Allah ta`ala berfirman:
وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ
Maksudnya :
“Dan kami palingkan hati dan pandangan mereka”. (Surah
Al-An`am : 110)
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
“اللَّهُمَّ يَامُصَرِّفَ الْقُلُوْبِ صَرِّفْ قُلُوْبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ”.
Maksudnya :
“Ya Allah yang mengubah keadaan hati, tetapkanlah hati
kami untuk taat kepadaMu”. [Diriwayatkan oleh Imam
Muslim dan Imam al-Baihaqi]
Jelaslah kepada kita bahawa Allah ta`ala berkuasa mengubah hati
seseorang itu daripada baik kepada jahat atau daripada jahat kepada
baik dan tidak ada sesiapapun yang dapat menghalang kehendak Allah
ta`ala sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al Quran.
Allah ta`ala berfirman:
قُلْ فَمَن يَمْلِكُ لَكُمْ مِّنَ ٱللَّهِ شَيْئاً إِنْ أَرَادَ بِكُمْ ضَرّاً أَوْ أَرَادَ بِكُمْ نَفْعاً بَلْ كَانَ ٱللَّهُ بِمَا
﴾ َتعْمَلُونَ خَبِيراً ﴿ ١١
Maksudnya :
“Katakanlah: Maka siapakah yang dapat menghalangi
kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan
bagimu. Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan”. (Surah Al-Fath : 11)

sifat 20-Ilmu ( mengetahui )

9-Ilmu (Mengetahui)

Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah Maha mengetahui
segala sesuatu. Ilmu Allah mencakup dan menyeluruh. Tidak ada
sesuatupun yang samar ataupun tersembunyi dari-Nya. Allah mengetahui
yang belum terjadi, yang telah terjadi dan yang akan terjadi. Allah
ta`ala mengetahui semua itu dengan ilmu yang satu, ilmu yang azali
yang tidak ada permulaan dan pengakhiran.
Allah ta`ala berfirman:
﴾ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿ ٢٩
Maksudnya :
“Dan Dia Maha mengetahui tiap-tiap sesuatu”. (Surah Al-
Baqarah : 29)
Allah ta`ala berfirman:
“Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang
tersembunyi.” (Surah Al-A`la : 7)
Oleh itu jelaslah bahawa sesungguhnya Allah ta`ala Maha Mengetahui
segala sesuatu sama ada secara umum (ijmali) atau terperinci (tafsili)
dan Dia juga Maha Mengetahui perkara yang zahir dan ghaib. Allah
ta`ala mengetahui apa yang ada di darat, di laut mahupun di langit.
Tidaklah gugur sehelai daun di atas tanah melainkan Dia mengetahuinya
dengan ilmu-Nya yang azali.


sifat 20- Hayat (hidup)
10-Hayat(HIDUP)
Beriman kepada Allah adalah menyakini bahawa Allah ta`ala hidup
dan selama-lamanya tidak akan menemui kematian.
Firman Allah ta`ala yang bermaksud:

“Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup kekal dan
tidak akan mati”. (Surah Al Furqan : 58)

Firman Allah ta`ala yang bermaksud:

“Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup
kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya”. (Surah Al-
Baqarah : 255)

Kalimah حي (Hidup) jika di sandarkan kepada Allah ta`ala, maka ia
bermaksud Yang mempunyai kehidupan azali yang tidak berhajat kepada
roh, daging dan darah. Manakala maksud قيوم (Al-Qayyum) adalah
pentadbir sekalian makhluk bukan bermaksud Allah bersatu dan
menjelma dalam makhluk-Nya. Hal ini sebagaimana yang didakwa
oleh sesetengah pihak. Ada sebahagian ulama` yang telah mentafsirkan
al-Qayyum dengan makna Dzat Yang Maha Kekal yang tidak akan
binasa.
Sifat 20- sama`(mendengar)

11-Sama` (Mendengar)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah ta`ala maha
mendengar segala sesuatu, namun pendengaran Allah tidak sama dengan
pendengaran makhluk-Nya. Makhluk mendengar dengan menggu
alat seperti telinga. Adapun Allah, mendengar dengan tanpa
berhajat kepada sebarang alat atau wasilah yang lain.
Firman Allah ta`ala :
﴾ قَدْ سَمِعَ اللهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا ﴿ ١
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang
mengajukan gugatan kepada kamu (Muhammad) tentang
suaminya”. (Surah Al-Mujaadilah : 1)
Allah ta`ala berfirman:
﴾ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ ﴿ ١١
Maksudnya:
(“Tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya dan Dia Maha
mendengar lagi Maha melihat”. )Surah Al Syura : 11

12-Sifat 20-Basar (Melihat)
Basar (Melihat)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah ta`ala Maha
Mendengar dan Maha Melihat segala sesuatu samaada yang zahir mahupun
tersembunyi. Namun penglihatan Allah sama sekali tidak sama
dengan penglihatan makhluk-Nya. Makhluk melihat dengan menggu
nakan alat seperti mata. Adapun Allah melihat tanpa berhajat kepada
sebarang alat mahupun wasilah yang lain.
Firman Allah ta`ala:
وَاللهُ بَصِيرٌ بِمَا َيعْمَلُوْن
Maksudnya :
“Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan”.
(Surah al-Isra’ : 1)
Allah ta`ala berfirman:
﴾ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ ﴿ ١١
Maksudnya :
“Tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya dan Dia Maha
mendengar lagi Maha melihat”. (Surah Al Syura : 11)

Sifat 20-Kalam (Berkata)

13-Kalam (Berkata)
Beriman kepada Allah adalah menyakini bahawa Allah berkata dengan
sifat kalam yang azali yang tiada permulaan dan kalam yang tidak
baharu. Sifat kalam-Nya tidak berhuruf, bersuara dan berbahasa seperti
makhluk-Nya. Maha Suci Allah daripada menyerupai makhlukmakhluk-
Nya. Perbahasan tentang sifat kalam adalah panjang, maka
oleh sebab itulah ilmu akidah juga dikenali dengan Ilmu Kalam kerana
perbahasan tentang sifat kalam ini telah diperbahaskan secara panjang
lebar di dalam ilmu tauhid.
Dalil yang menunjukkan Allah mempunyai sifat iaitu berkata-kata
seperti yang dinyatakan di dalam al Quran.
Allah ta`ala berfirman:
وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيماً
Maksudnya:
“Dan Allah ta`ala telah memperdengarkan kepada Musa
kalamNya”. (Surah An-Nisa’ : 164)
Firman Allah ta`ala :
إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَيْءٍ إِذَآ أَرَدْنَاهُ أَن نَّقُوْلَ لَهُ كُن فَيَكُوْنُ
Maksudnya :
“Sesungguhnya perkataan Kami (Allah) terhadap sesuatu
apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan
kepadanya: Kun (jadilah, maka jadilah ia”. (Surah an-
Nahl : 40)
Firman Allah ta`ala:
إِنَّمَآأَمْرُهُ إِذَآأَرَادَ شَيْئًا أَن َيقُوْلَ لَهُ كُن فَيَكُوْنُ
Maksudnya :
“Sesungguhnya urusan-Nya (Allah) apabila Dia menghendaki
sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, Kun (jadilah), maka
jadilah sesuatu itu”. (Surah Yasin : 82)
Ayat ini bermaksud bahawa Allah ta`ala mengadakan segala sesuatu
dengan ketiadaan penat, kesusahan dan dengan ketiadaan halangan
dari seseorang terhadap Allah ta`ala. Sesungguhnya Allah ta`ala menjadikan
sesuatu yang Dia kehendaki itu dengan bersegera, lagi dengan
ketiadaan terlewat. Ayat ini bukan menunjukkan bahawa Allah hendak
menjadikan sesuatu dengan mengatakan “KUN”, maka jadilah. Tetapi
maksud yang dikehendaki di sini ialah bagi menunjukkan mudahnya
Allah ta`ala dalam menjadikan sesuatu, bukan hanya semata-mata ber
kata “KUN” untuk menjadikan sesuatu makhluk. Ini adalah kerana
perkataan “KUN” itu sendiri berhuruf, bersuara dan mempunyai bahasa.
Sedangkan kalamullah tidak berhuruf, bersuara dan berbahasa.
Adapun golongan mujassimah (golongan yang menyamakan Allah
dengan makhluk dan mengatakan Allah itu berjisim) mengatakan bahawa
Allah ta`ala menyebut dengan huruf “Kaf dan Nun” ketika menjadikan
sesuatu daripada segala makhluk-Nya. Perkataan seumpama
ini tidak akan dikeluarkan oleh manusia yang sejahtera akalnya. Maka
fahaman seperti ini akan menyebabkan penjisiman terhadap Allah dan
ia menyebabkan penganut kepada fahaman ini dihukum kufur.
Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al-Fiqh al-Absat:
“Allah mempunyai sifat kalam yang tidak menyerupai
pembicaraan kita, kita berbicara menggunakan organ-organ
pembicaraan dan huruf, sedangkan kalam Allah tidaklah
dengan organ-organ pembicaraan (mulut, lidah, tengkok, air
liur) dan huruf.”
Mustahil pada akal sekiranya wujud fahaman yang mengatakan bahawa
Allah bersifat dengan sifat-sifat baharu .Ini adalah kerana Dzat
Allah adalah bersifat qadim .Oleh kerana Dzat Allah itu qadim ,maka
sifat-Nya juga turut qadim .Oleh yang demikian kalamullah bukanlah
terdiri dari huruf, suara mahupun bahasa kerana semua tersebut adalah
merupakan sifat makhluk. Allah tidak dikatakan “sebut” bahkan
dikatakan berkata-kata/ berfirman kerana berkat-kata tidak semestinya
berlaku dengan sesuatu huruf dan lontaran suara. Adapun perkataan
“sebut” yang demikian itu lebih menjurus kepada sebutan sesuatu perkataan
yang terangkum daripada dua juzu’ iaitu huruf dan suara.
Al Quran, Taurat, Injil, Zabur dan suhuf-suhuf sekiranya ia di rujuk
kepada kalam dzati iaitu sifat kalam yang ada pada Dzat Allah ta`ala
maka ianya bukanlah huruf, suara atau bahasa. Sekiranya ia merujuk
kepada kalam yang diturunkan atau lafaz yang diturunkan (lafz al-munazzal)
yang sebahagiannya berbahasa Arab, Suryani atau Ibrani, maka
ianya adalah makhluk. Namun begitu ini bukan bermakna ia adalah
ciptaan atau rekaan manusia mahupun malaikat, bahkan sebenarnya ia
merupakan ibarat yang menunjukkan kepada kalam dzaatiy yang tidak
disifatkan sebagai berbahasa Arab dan lain-lain. Walaupun demikian
kedua-duanya (kalam dzati dan kalam al-munazzal) tetap disebutkan
sebagai Kalamullah.
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, terdapat dua istilah ‘Kalamullah’ :
Pertama : Istilah yang merujuk kepada Kalam Dzati maka ia bukanlah
suara, huruf mahupun bahasa, bahkan Kalam Dzati adalah bersifat
azali (tidak ada permulaan) dan abadi (tidak ada pengakhiran).
Kedua : Manakala istilah (lafz al-munazzal) merupakan kalam yang
diturunkan oleh Allah kepada sekalian manusia. Lafz al-Munazzal terdiri
daripada huruf dan bahasa, ada permulaan dan pengakhiran.
Berdasarkan carta ini, dapat memudahkan lagi untuk kita memahami
sifat Kalam Allah.
KALAM LAFZ ALMUNAZZAL
Merupakan ibarat kepada Kalam
Al-Dzati yang terdiri dari huruf,
suara, bahasa, ada permulaan dan
pengakhiran
KALAM AL-DZATI
Merupakan sifat bagi Allah
ta`ala yang azali (yang tidak
ada permulaan), bukan
berhuruf dan bersuara
Dalil bahawa al-Quran diistilahkan kepada kalam yang diturunkan
ialah melalui firman Allah ta`ala:
يُرِيْدُوْنَ أَنُ يبَدِّلُواْ كَلامَ اللهِ
Maksudnya :
“Mereka (iaitu orang kafir) hendak mengubah Kalamullah”.
(Surah Al Fath : 15)
Maksud ayat ini ialah orang kafir ingin mengubah isi kandungan
al-Quran yang diturunkan ini iaitu Lafz al-Munazzal bukannya mengubah
Kalamullah yang merupakan Sifat Dzati bagi Dzat Allah.
Merujuk kepada istilah yang kedua (Lafz al-Munazzal), ianya datang
dari Allah juga, bukanlah rekaan malaikat mahupun Nabi. Allah
telah memerintahkan Malaikat Jibril supaya mengambil al Quran di
Lauh al-Mahfuz untuk diturunkan kepada nabi-nabiNya. Maka Jibril
telah mengambil al Quran 30 juzuk itu dan diturunkan ke Baitul `Izzah
dan Sayyiduna Jibril alaihissalam telah menurunkan al Quran 30
juzuk kepada Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam berpandukan
peristiwa yang berlaku seperti mana yang dikehendaki oleh Allah
secara beransur-ansur. Jibril membaca al-Quran dengan huruf
dan suara dalam Bahasa Arab yang didengar oleh Nabi Muhammad
sallallahu`alaihi wasallam, kemudian Nabi pula membacakannya serta
memperdengarkannya kepada para sahabat sehinggalah sampai kepada
kita sekarang.
Berlainan pula pada hari kiamat kelak dimana setiap manusia akan
mendengar kalamullah yang azali abadi yang bukan huruf, suara dan
bahasa dimana mereka memahami setiap perkara yang diajukan oleh
Allah.
Contoh untuk lebih mudah difahami adalah seperti berikut :-
Lafaz atau kalimah ALLAH merupakan ibarat kepada ‘ Dzat Tuhan
Yang Azali lagi Abadi ‘, Yang Maha Suci lagi Maha Agung yang mempunyai
segala sifat kesempurnaan. Apabila kita sebut “ kami sembah
Allah ” maka maksudnya seperti di atas.
Apabila kita tuliskan atas white board perkataan “Allah” sebagai
contoh, lalu kita soal seseorang; “ apakah ini ? ” Pasti dijawab ; “Allah”.
Jawapan ini bermakna kalimah Allah tersebut merupakan ‘ibarat
(menunjukkan) kepada Dzat Allah Yang Azali Abadi yang disembah,
bukannya perkataan atau huruf itu sendiri adalah Allah.
Golongan muktazilah dihukum kafir oleh Ahl al-Sunnah Wa al-
Jama`ah kerana mereka beriktikad Allah tidak bersifat dengan sifat Kalam
atau dalam erti kata lain mereka menafikan sifat tersebut. Inilah
yang disebutkan sebagai Ahli Ta’til. Mereka berkata Allah menciptakan
kalam pada yang lain. Seperti kisah Nabi Musa mereka mengatakan ‘
Allah ciptakan kalam pada sepohon pokok, maka pokok tersebutlah
yang berkata-kata dengan Nabi Musa. Allah tidak bersifat dengan sifat
Kalam. Wal`iyaazubillaah...
Golongan musyabbihah (menyamakan Allah dengan makhluk) pula
dihukum kafir kerana beri`tiqad bahawa Kalamullah mempunyai suara,
huruf dan bahasa. Sekiranya benar demikian, maka samalah kalam
Allah dengan kalam manusia. Jika Kalam Allah dan kalam manusia
adalah sama maka sudah tentulah kalam-Nya baharu seperti sifat kalam
manusia. Ini adalah i`tiqad yang batil lagi sesat. Maha Suci Allah
daripada menyerupai makhluk-makhluk-Nya.
Oleh yang demikian, barangsiapa mengatakan al-Quran yang wujud
sekarang di dalam mushaf sebagai makhluk, tidaklah kafir tetapi
haram. Ianya tetap ditegah kerana dibimbangi berlaku salah faham
lalu ada yang beri`tiqad Kalamullah yang merupakan sifat bagi Allah
itu adalah makhluk. Adapun di dalam majlis ilmu tidak mengapa kerana
ianya dihuraikan secara terperinci untuk penjelasan dan kefahaman.
Barangsiapa yang beri`tikad bahawa kalamullah adalah baharu, maka
ia dihukum kufur.

No comments:

Post a Comment