Saturday, 29 September 2012

politik islam (sirah Nabawi) dan cara al-imam hassan albanna



Firman Allah :
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)
Sabda Rasulullah S.A.W.
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.
Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.
Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.
Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.
Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).
Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Takrif Politik


Politik mengandungi beberapa maksud antaranya, kaedah untuk memerintah dan mentadbir sebuah negara.

Politik juga ialah kuasa atau keupayaan untuk memperolehi apa yang dikehendaki.
Politik juga merujuk kepada kaedah berdiplomasi dan mencapai kata sepakat.
Dalam buku al-Siyasah al-Hakimah, Ibnu Qayyim mentakrifkan politik sebagai tindakan yang membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan jauh daripada kebinasaan, walaupun tindakan tersebut tidak dinyatakan oleh rasul dan tidak disebut oleh wahyu. Apa sahaja cara yang boleh mewujudkan keadilan, ia termasuk dalam agama ini.


Takrif Negara


Negara adalah pihak yang memiliki kedaulatan untuk menggunakan kekerasan (tindakan/peraturan) atau kuasa. Negara juga ialah suatu badan politik yang bebas untuk mentadbir kehidupan manusia dalam sebuah kawasan tertentu melalui beberapa institusi yang kekal. Pemerintah pula ialah kuasa yang sah.
Seterusnya, dalam dua tajuk berikut saya akan kemukakan secara ringkas beberapa landasan dan konsep menurut pemikiran politik Ustaz al-Banna yang memberikan gambaran menyeluruh tentang agenda kebangkitan ummah dan pembinaan sebuah negara.

Ustaz al-Banna telah menggariskan beberapa landasan yang membentuk pemikiran politik dalam agenda kebangkitan ummah ini.



Contohnya beliau menegaskan bahawa seorang muslim mestilah berpolitik berlandaskan Islam yang menjadi anutannya. Menurut beliau: “Seorang muslim tidak akan memilih Islam yang sempurna kecuali apabila dia menjadi seorang ahli politik; apabila dia meninjau segala masalah umatnya; apabila dia mengambil berat tentang nasib mereka dan peka dengan segala masalah mereka. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa segala batasan dan pemisahan yang wujud ini adalah suatu yang tidak dapat diterima oleh Islam. Setiap pertubuhan Islam perlu meletakkan aspek politik umat Islam sebagai agenda utama mereka. Jika tidak mereka perlu menilai semula fahaman mereka tentang Islam.” 



1. Kesyumulan Islam Bererti Gerakerja Politik adalah Wajib.



Bagi menegaskan hakikat ini, beliau menekankan bahawa kesyumulan Islam yang merangkumi agama dan sistem hidup sudah tentu merangkumi aspek politik. Beliau menyebut: “Kesan daripada kefahaman yang lengkap dan menyeluruh tentang Islam ini menyebabkan gagasan Ikhwan al-Muslimin mencakupi seluruh sudut perubahan yang diperlukan oleh umat Islam. Segala elemen perubahan yang wujud pada yang lain juga wujud pada Ikhwan. Dengan ini setiap orang yang mahukan perubahan, ikhlas dan bersemangat tinggi pasti akan mendapat apa yang diharapkannya di sini. Bersama Ikhwan, semua pencinta perubahan yang mengenali dan memahami matlamat Ikhwan akan menemui apa yang diimpikan. Tidak salah jika anda katakan bahawa Ikhwan al-Muslimin ialah: “Parti politik, kerana mereka menuntut supaya wujudnya pengislahan kepada sistem pemerintahan negara. Mereka turut menuntut supaya dikaji semula hubungan antara umat Islam dengan bangsa-bangsa lain di luar negara Islam. Mereka menuntut supaya masyarakat Islam dididik agar memiliki harga diri dan memelihara semangat perkauman Islam semaksimum mungkin.” 



2. Negara adalah Simbol Suatu Gagasan.



Beliau menegaskan bahawa melaksanakan Islam sebagai suatu cara hidup yang bersepadu akan hanya dapat dicapai melalui sebuah negara Islam. Beliau berkata: “Meletakkan negara sebagai wakil kepada gagasan (fikrah) ini dan bertindak sebagai penjaga gagasan ini. Negara ini juga bertanggungjawab mencapai matlamat gagasan ini dalam sebuah masyarakat dan kemudian menyampaikan gagasan ini ke seluruh manusia… “Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas di bumi ini. Negara yang mampu melaksanakan hukum-hukum dan sistem sosial Islam. Sebuah negara yang dapat menampilkan ajaran Islam yang sebenar dan dapat menyebarkannya secara bijaksana kepada semua manusia.



3. Seseorang Muslim Tidak Boleh Mengabaikan Aspek Pelaksanaan. (* tidak berteori semata-mata)



Di bawah tajuk “Kami dan politik”, Ustaz al-Banna menegaskan politik harakah adalah seperti memahami Islam yang sahih, melaksanakan ajaran Islam, memulihkan aspek pelaksanaan dan membina negara Islam. Menurut beliau: “Jika kami dikatakan sebagai pertubuhan politik atas dasar kami mengambil berat soal umat Islam ini, atau kerana kami berfahaman bahawa kuasa eksekutif dan maruah bangsa adalah sebahagian rukun atau fardhu Islam, atau kerana kami bekerja dengan penuh gigih untuk memperolehikemerdekaan mutlak dan memulihkan badan pentadbiran, maka memang benar itulah kami.” 


4. Ummah Bertanggungjawab Menuntut Pemerintah Memenuhi Hak-hak mereka yang Diberikan oleh Islam.



Ustaz al-Banna menggalakkan umat Islam supaya menuntut hak-hak mereka yang diberikan oleh Islam termasuklah hak berpolitik. Beliau berkata: “Suatu perkara yang perlu saya katakan di sini ialah Ikhwan al-Muslimin tidak pernah merasakan mana-mana kerajaan yang ada pada zaman ini baik kerajaan yang sedia ada atau kerajaan sebelumnya atau mana-mana kerajaan sekalipun, telah memikul tanggungjawab ini atau menunjukkan kesediaan yang sebenar untuk mendokong gagasan Islam. Semoga umat Islam menyedari hakikat ini. Semoga mereka menuntut supaya kerajaan mereka melaksanakan hak-hak Islam. Dalam pada itu Ikhwan akan terus berusaha dan bekerja.” 


5. Memberi Kefahaman, Menyebarkan Dakwah dan Perjuangan Berlandaskan Perlembagaan adalah Cara yang Paling Selamat untuk Masyarakat.




Ustaz al-Banna telah menetapkan bahawa matlamat ini boleh dicapai dengan menyebarkan dakwah dengan cara yang terbaik dan nasihat yang berguna serta mengambil peranan yang proaktif dalam lapangan politik. Menurut beliau: “Wasilah atau wahana yang kita gunakan ialah, meyakinkan orang ramai, sebarkan dakwah dengan apa cara sekalipun… Seterusnya kita melangkah ke medan perjuangan mengikut lunas undang-undang dengan tujuan dakwah ini dapat diketengahkan ke institusi-institusi rasmi.Dengan ini dakwah akan dibantu dan didokong oleh kuasa yang efektif. Atas dasar ini,apabila tiba masa yang sesuai, calon-calon Ikhwan al-Muslimin akan tampil ke hadapan menjadi wakil kepada rakyat di badan-badan perwakilan rakyat. Kami amat yakin Allah akan membantu kami memperoleh kejayaan jika apa yang kami lakukan ini hanya demi keredhaan Allah. “…Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;” Al-Hajj: 40.


6. Kerajaan adalah Salah Satu Rukun Islam.


Akhir sekali, Ustaz al-Banna secara tegas menyatakan pendirian Ikhwan tentang kerajaan. Menurut beliau kerajaan adalah salah satu rukun dalam struktur sistem Islam. Beliau berkata: “Islam yang diimani oleh Ikhwan al-Muslimin ini ialah Islam yang meletakkan kerajaan sebagai salah satu rukunnya. Islam yang bergantung kepada pelaksanaan sama seperti ia bergantung kepada pendidikan. Suatu ketika dahulu khalifah ketiga pernah berkata: “Allah akan menghalang dengan kuasa apa yang tidak boleh dihalang dengan al- Quran.” “Nabi s.a.w. meletakkan pemerintahan sebagai salah satu rangkaian Islam.Dalam buku-buku fikah kita, pemerintahan disenaraikan dalam masalah akidah dan asas, bukan dalam masalah fikah dan sampingan. Islam adalah pemerintahan dan pelaksanaan…” 


Ustaz al-Banna menegaskan bahawa semua hakikat ini lahir dari prinsip iaitu politik tidak boleh dipisahkan dengan Islam dan sistem sosial dalam Islam. Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas dalam tulisan-tulisan beliau. Contohnya seperti berikut: Islam telah meletakkan suasana politik yang dapat memberikan kebahagiaan di dunia dan keuntungan di akhirat.



Ustaz al-Banna telah menjelaskan matlamat politik dalam Islam. Menurut beliau: “Wahai bangsa kami, janganlah istilah-istilah ini menutup mata kamu daripada menilai kenyataan. Janganlah nama-nama yang digunakan ini menutup semua kebenaran. Janganlah luaran itu menutup segala kebenaran. Islam sememangnya mempunyai dasar politik untuk membawa kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Inilah politik kami dan kami tidak ada pilihan lain. Oleh itu ketengahkanlah politik ini dan ajaklah orang lain berlandaskan politik ini nescaya kamu akan beroleh kemuliaan di akhirat. Kamu pasti akan memahaminya apabila sampai masanya.” 


Islam tidak memisahkan agama dengan politik. Ustaz al-Banna juga menegaskan salah satu nilai Islam yang tidak akan berubah ialah tidak memisahkan agama dengan politik. Beliau menyebut: “Jarang sekali anda bertemu dengan seseorang yang tidak memisahkan antara politik dan Islam apabila dia memperkatakannya. Kedua-dua perkara akan diletakkan di tempat yang berasingan. Bagi sesetengah masyarakat, kedua-dua perkara ini tidak boleh bersama. Oleh kerana itu dinamakan sesebuah pertubuhan sebagai pertubuhan Islam dan bukannya pertubuhan politik atau perhimpunan ini satu perhimpunan agama bukannya perhimpunan politik. Anda juga boleh lihat perlembagaan pertubuhan-pertubuhan Islam ada mencatatkan: “Pertubuhan ini tidak terlibat dengan soal politik.”
“Saudara, katakan kepada saya, jika Islam ini bukan politik, bukan sosial, bukan ekonomi dan bukan ilmu pengetahuan, jadi Islam ini apa? Adakah Islam ini hanya rakaat-rakaat yang dilakukan dengan hati yang kosong atau hanya sekadar lafaz umpama kata-kata Rabi’ah al-Adawiyah: “Istighfar yang memerlukan kepada istighfar.” Saudara adakah hanya kerana ini al-Quran perlu turun membawa suatu sistem yang lengkap. “…menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” An-Nahl: 89 


Politik dan pemerintahan adalah di antara perkara khusus dalam syariat Islam dan tidak akan terpisah 
daripada asas yang lain. Ustaz al-Banna menjelaskan kedudukan politik sebagai sebahagian daripada perkara asas dalam syariat: “Islam yang suci ini meletakkan kerajaan sebagai salah satu elemen sistem sosial Islam kerana Islam tidak dapat menerima suasana yang tidak stabil. Islam juga tidak membenarkan masyarakat Islam hidup tanpa pemimpin… “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu…” Al-Maidah: 49 “Sesiapa yang mendakwa agama ini (atau lebih tepat Islam) tidak menyentuh aspek politik atau politik tidak termasuk dalam bidang Islam, dia sebenarnya telah menzalimi diri sendiri atau menzalimi ilmunya. Saya tidak katakan dia menzalimi Islam kerana Islam adalah syariat Allah yang tiada sedikitpun salah silap dan cacat celanya. “Negara Islammestilah dibina di atas asas dakwah supaya Negara ini mempunyai wawasan tersendiri, bukan sekadar sebuah jentera pentadbiran dan kerajaan yang beku dan kaku tanpa sebarang roh. Demikian juga dakwah mestilah diletakkan di bawah penjaga yang akan menjaga, menyebar, menyampai dan memantapkannya.” 



Mengabaikan aspek pemerintahan adalah jenayah sementara menuntut kewujudannya adalah wajib dalam Islam. Seterusnya Ustaz al-Banna mengingatkan tentang jenayah akibat mengabaikan pelaksanaan syariat Allah. Beliau menggesa para penggerak Islam agar berusaha mencapai matlamat ini: “Islam yang diimani oleh Ikwan al-Muslimin ini ialah Islam yang meletakkan kerajaan sebagai salah satu rukunnya. Islam yang bergantung kepada pelaksanaan sama seperti ia bergantung kepada pendidikan. Suatu ketika dahulu khalifah ketiga pernah berkata: “Allah akan menghalang dengan kuasa apa yang tidak boleh dihalang dengan al- Quran.” Nabi s.a.w. meletakkan pemerintahan sebagai salah satu rangkaian Islam. Dalam buku-buku fikah kita, pemerintahan disenaraikan dalam masalah akidah dan asas, bukan dalam masalah fikah dan sampingan. Islam adalah pemerintahan dan pelaksanaan… Mungkin kita boleh faham jika para reformis Islam merasa selesa dengan hanya berperanan sebagai penasihat dan pembimbing ketika mereka mendapati ada ahli politik dan pemerintah yang patuh kepada perintah Allah dan melaksanakan segala hukum-Nya, menyampaikan segala ayat-ayat dan hadis-hadis Nabi s.a.w. Namun hakikatnya seperti yang kita lihat, perlembagaan Islam berada di suatu tempat dan perlembagaan yang diguna pakai berada di tempat yang lain. Sikap para reformis Islam yang berpeluk tubuh tidak mahu menuntut supaya hukum Islam dijalankan merupakan suatu jenayah menurut Islam; Jenayah yang tidak akan dimaafkan kecuali dengan cara bangkit dan mengambil semula kuasa eksekutif daripada genggaman pihak yang tidak meyakini undang-undang Islam yang suci.” 


Kesederhanaan dan rasional ketika berhadapan dengan masalah pemerintahan. Akhirnya, secara terbuka beliau menjelaskan bahawa matlamat Ikhwan al-Muslimin bukanlah untuk mendapat kuasa pemerintahan sebaliknya matlamat mereka ialah melaksanakan syariat Allah. Tegas beliau: “Atas dasar ini, Ikhwan al-Muslimin tidak pernah menuntut kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Jika Ikhwan merasakan ada di kalangan umat ini yang bersedia memikul tanggungjawab dan amanah ini serta bersedia memimpin masyarakat berlandaskan ajaran Islam dan al-Quran maka Ikhwan akan menjadi jentera, pembantu dan pendokongnya. Jika tiada maka kuasa pemerintahan adalah sebahagian pendekatan Ikhwan. Mereka akan berusaha mengambil semula kuasa daripada genggaman setiap kerajaan yang tidak melaksanakan perintah Allah. “Atas dasar ini juga, Ikhwan amat waras dan amat berhati-hati untuk tidak menerima tanggungjawab kuasa ini dalam keadaan jiwa umat Islam di tahap sekarang ini. Perlu ada suatu tempoh yang diperuntukkan untuk menyebar dan mengetengahkan dasar-dasar Ikhwan. Dalam tempoh ini masyarakat dididik bagaimana untuk mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi.” 



Dengan landasan yang jelas dan nyata ini Ustaz al-Banna telah mengemukakan suatu pemikiran politik yang berlandaskan fahaman yang tepat tentang Islam. Agama yang merupakan panduan hidup yang lengkap dan bersepadu. Ia sekaligus menggariskan dasar dalam gerakan Ikhwan al-Muslimin. Dasar ini seterusnya mencorak agenda kebangkitan ummah dan proses pembinaan sebuah negara Islam yang unggul.



No comments:

Post a Comment